Najib percaya Blackstone dikawal atau dimiliki Arab Saudi, kata saksi

Najib percaya Blackstone dikawal atau dimiliki Arab Saudi, kata saksi

Pegawai penyiasat SPRM berkata Najib Razak maklumkan perkara itu ketika kenyataannya direkodkan.

Najib Razak hadapi 4 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu Najib Razak percaya syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal atau dimiliki kerajaan Arab Saudi.

Syarikat itu menerima jutaan wang dana milik 1MDB yang akhirnya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nur Aida Arifin berkata Najib memaklumkan perkara itu kepada SPRM ketika kenyataannya direkodkan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berhubung transaksi yang berlaku antara Blackstone dan akaun peribadi Najib berakhir 9694.

Wan Azwan Aiman: Anda bersetuju dengan saya bahawa apabila pegawai SPRM mengambil kenyataan daripada Najib dan dia memberitahu bahawa dia percaya Blackstone dimiliki atau dikawal oleh Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi?

Nur Aida: Ya, betul.

Untuk rekod, Blackstone sebuah syarikat yang dikawal ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, melalui rakan sekutunya, Tan Kim Loong, juga dikenali sebagai Eric Tan yang juga seorang pelarian.

Wan Azwan Aiman: Kamu bersetuju bahawa semasa rakaman percakapan direkodkan oleh pihak SPRM, Najib tidak pernah bersemuka dengan apa-apa dokumen bahawa Eric Tan adalah benefisiari Blackstone?

Nur Aida: Setuju

Saksi itu juga bersetuju Najib tidak pernah mengarahkan Eric untuk memindahkan RM90,899,927.30 ke akaun bank peribadinya pada 2012, dan beliau juga bersetuju SPRM tidak mengambil sebarang kenyataan daripada Eric berkaitan transaksi itu.

Sebelum ini dilaporkan Low menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, sebuah “shell company” dengan nama yang sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian, Blackstone Real Estate; dan Low didakwa dengan sengaja menggunakan satu konvensyen penamaan untuk “shell company” luar pesisir yang diwujudkannya, bagi menyerupai syarikat yang telah matang, dalam konspirasinya mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.