Lapor polis, menteri beritahu pengusaha stesen minyak diugut sindiket

Lapor polis, menteri beritahu pengusaha stesen minyak diugut sindiket

Ia susulan pendedahan Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali ada pengusaha stesen minyak diugut sindiket penyeludupan mahu membakar atau merosakkan kemudahan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengusaha stesen minyak yang diugut sindiket penyeludupan perlu segera membuat laporan polis kerana itu saja pilihan mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menggesa pengusaha stesen minyak yang mendakwa diugut sindiket penyeludupan diesel bersubsidi membuat laporan polis.

Katanya, ia untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana elemen itu di bawah bidang kuasa polis.

“Lesen untuk stesen minyak di negara kita dikawal selia KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), manakala kuota jualan dan subsidi dikawal selia Kementerian Kewangan,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan karnival pencegahan jenayah di Perumahan Awam Sri Sabah.

“Namun, sekiranya ada ugutan, itu sudah dalam bidang kuasa polis. Kalau betul berlaku ugutan terhadap tuan punya stesen minyak dan memang wujud elemen ugutan, dia hendaklah segera membuat aduan kepada polis, itu saja pilihannya.”

Selasa lalu, Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, terdapat pengusaha stesen minyak diugut sindiket penyeludupan jika tidak membenarkan penjualan bahan api itu kepada kenderaan yang terlalu kerap mengisinya.

Semalam, Armizan mendedahkan terdapat pengusaha stesen minyak membuat laporan mendakwa diancam sindiket yang mengugut mahu membakar atau merosakkan fasiliti di stesen minyak mereka.

Selain KPDN, katanya, terdapat laporan dibuat kepada polis dan pihaknya sedang mengumpulkan laporan supaya siasatan serta tindakan dapat diambil terhadap pihak berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.