Kertas Kabinet sektor industri sukan akan dibentang

Kertas Kabinet sektor industri sukan akan dibentang

Kertas memperluas skop industri sukan dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

atlet
Menteri Hannah Yeoh mahu menarik perhatian kepada industri di sekitar sukan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kertas Kabinet berkenaan usaha mewujudkan sektor industri sukan dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata kertas bagi mewujudkan sektor di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu penting, bagi memperluas skop industri sukan dan tidak hanya tertumpu kepada latihan atau atlet semata-mata.

Skop itu termasuk perubatan sukan, suplemen, insurans, pengusaha gim dan fasiliti sukan, penganjuran aktiviti sukan serta persidangan, dan pelbagai lagi aktiviti melibatkan sukan yang berpotensi menambah pendapatan negara.

“Penting lihat industri berada di sekitar sukan itu sendiri dan lihat cara bagaimana kita dapat bersama. Kita wujudkan sektor industri sukan itu dan berkerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi kumpul data-data berkaitan bagi melangkah ke hadapan.

“Kita bekerjasama dengan DOSM sebelum ini tetapi data ialah mengenai nilai jualan menerusi sukan, bila ada penganjuran sukan kita lihat berapa dibelanjakan tetapi kita mahu lebih daripada itu, jadi sektor industri sukan diharap capai hasrat kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kongres Persekutuan Perubatan Sukan Asia ke-18 dan Persidangan Perubatan Sukan dan Sains Sukan Institut Sukan Negara ke-8.

Hannah berkata dengan data yang lebih menyeluruh melibatkan sektor industri sukan, pihaknya akan mampu merangsang pertumbuhan sukan dengan lebih baik, antaranya dengan membawa lebih banyak dana dan pelaburan dalam industri tersebut.

“Dengan langkah ini juga, Kementerian Belia dan Sukan juga tidak akan dilihat lagi sebagai sebuah kementerian kecil yang menjaga belia dan sukan sahaja. Ada sebuah industri di situ yang kita boleh teroka dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata penubuhan sektor industri sukan itu juga diharap dapat membolehkan kerajaan menyalurkan dana yang lebih khusus untuk kementerian itu, antaranya bidang perubatan sukan dan sains sukan, yang mana sekarang lebih banyak diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.