
Sinar Harian melaporkan Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azrul Darus.
Lelaki itu didakwa menggunakan dua dokumen “Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form” dan satu “Letter of indemnity” sebagai tulen, sedangkan dia tahu ia palsu di sebuah bank di Brickfields pada 15 Okt 2019 dan 13 Jan 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd Nordin mencadangkan mahkamah mengguna pakai ikat jamin dalam prosiding kes lalu, manakala peguam Shahrulazwad Ismail yang mewakili tertuduh tidak membantah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Jun ini.
Pada 27 Mac lalu, bekas pengurus perhubungan pelanggan bank itu mengaku tidak bersalah atas 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas lebih RM6 juta antara 2019 hingga 2021.
Sebanyak 46 pertuduhan itu membabitkan pemalsuan dokumen, di mana tertuduh didakwa menggunakan dokumen tulen “Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form”
Bagi 26 pertuduhan menipu, dia didakwa memperdayakan beberapa pegawai bank itu untuk mempercayai beberapa pelanggan mahu mengeluarkan dan membeli jongkong emas pelbagai berat menggunakan borang “Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form” yang dikatakan ditandatangani pelanggan.
Tujuh pertuduhan pula membabitkan salah guna jongkong emas milik empat wanita, manakala baki satu pertuduhan ialah melakukan pecah amanah membabitkan dua jongkong emas milik seorang wanita bergelar datin berusia 75 tahun.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di bank sama antara 15 Okt 2019 hingga 24 Ogos 2021.
Dalam prosiding hari ini, Norfauzani memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh atas tiga daripada 46 pertuduhan pemalsuan dokumen disebabkan kesilapan teknikal.
Azrul membenarkan perkara itu selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan, tetapi selepas dituduh semula atas tiga pertuduhan baharu, jumlah keseluruhan kekal 80 kes.