
Sebagai contoh, menurut ahli ekonomi, rizab antarabangsa negara berkembang manakala kadar inflasi kekal stabil.
Namun, ahli ekonomi memberitahu FMT, negara masih berdepan dengan cabaran seperti kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tinggi.
Bagaimanapun, kata mereka, ini di luar kawalan Malaysia.
Pada Mac lalu, Bank Negara (BNM) menggesa syarikat pengeksport dan yang mempunyai pelaburan di luar negara untuk membawa pulang keuntungan dan pendapatan mereka kembali ke tanah air.
Bank pusat juga memberitahu perniagaan untuk menangguhkan pelaburan baru di luar negara dan untuk melindungi pelaburan luar pesisir bagi membantu menaikkan ringgit.
BNM juga menegaskan semula perancangannya untuk memastikan dan mendukung fungsi pasaran pertukaran wang asing dengan teratur serta menyokong dana berkait kerajaan, korporat dan pengimport untuk meningkatkan kecairan.
Afzanizam Rashid, ketua ekonomi di Bank Muamalat Malaysia Bhd, berkata peningkatan dalam rizab antarabangsa menunjukkan bahawa usaha seperti itu akan membuahkan hasil.
Rizab antarabangsa meningkat dari USD108.5 bilion pada Oktober tahun lepas kepada USD113.4 bilion pada Mac dan bagi Afzanizam, ini menunjukkan masa depan yang baik.
“Dengan rizab yang tinggi, bank pusat lebih bersedia untuk mencelah dalam pasaran mata wang (jika diperlukan),” katanya.
Katanya, peningkatan berperingkat kadar dasar semalaman (OPR) oleh BNM juga berjaya dalam mengekalkan inflasi pada tahap sederhana tanpa memberi kesan kepada pertumbuhan.
OPR dikurangkan dari 3% kepada 1.75% semasa pandemik Covid-19 tetapi sejak ekonomi global semakin pulih ekoran ancaman pandemik semakin reda, OPR dinaikkan secara berperingkat kepada 3% pada Mei tahun lepas.
Afzanizam berkata kadar inflasi menurun dari 4.7% pada Ogos 2022 kepada 1.8% pada Februari tahun ini.
Barjoyai Bardai, dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kenyataan Malaysia berjaya mengumpulkan rizab melebihi RM520 bilion menunjukkan bahawa ringgit disokong oleh asas yang kukuh.
“Mata wang tempatan mungkin di bawah nilai sebenar berbanding beberapa mata wang serantau tetapi ia kekal bersaing di tengah-tengah ketidakpastian global dan peperangan,” katanya.
Cabaran lain
Walaupun sentimen kekal positif, kedua-dua ahli ekonomi menyatakan tidak semua berada dalam keadaan baik.
Bagi Afzanizam, jurang antara kadar OPR Malaysia dan kadar faedah AS masih menjadi kebimbangan.
Kadar Dana Persekutuan AS berada pada 5.5% hari ini, iaitu 250 mata asas di atas OPR Malaysia.
Menurut Afzanizam, kadar faedah yang lebih tinggi di AS akan menarik lebih banyak wang ke sana
“Sebagai contoh, hasil 10 tahun bagi bon kerajaan AS adalah kira-kira 4.2% manakala bagi bon kerajaan Malaysia adalah 3.96%. Pelabur akan mendapati lebih menarik untuk melabur di AS,” katanya.
Katanya, perbezaan kadar faedah boleh juga menyebabkan turun naik ringgit dalam pasaran.
“Ini akan terus menjadi cabaran. Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku,” kata Afzanizam.
Katanya, Rizab Persekutuan AS mungkin memutuskan untuk mempercepatkan pemotongan kadar faedah sekiranya trend inflasi yang rendah berterusan dan ekonomi kekal lemah.
Menurutnya, tumpuan sekarang seharusnya beralih terhadap mengekalkan pertumbuhan kerana kadar faedah yang tinggi boleh memberikan kesan mendalam kepada ekonomi.
Barjoyai berkata, usaha untuk mengukuhkan nilai ringgit juga rumit.
Katanya, menangani masalah seperti peningkatan tahap hutang berkanun kerajaan mesti diberikan keutamaan.
“Untuk menarik lebih banyak pelaburan sementara ringgit kekal lemah, adalah penting untuk membina keyakinan,” katanya.
“Usaha untuk merangsang sentimen positif, meningkatkan asas ekonomi dan menangani isu-isu utama seperti penghantaran pulang wang oleh pekerja asing yang kini melebihi RM60 bilion, adalah penting,” tambahnya.