Kerja lebih keras sampaikan kemajuan pembaharuan, kerajaan diberitahu

Kerja lebih keras sampaikan kemajuan pembaharuan, kerajaan diberitahu

Syaza Shukri memberi amaran Malaysia tidak harus tergesa-gesa melaksanakan pembaharuan yang boleh menyebabkan penentangan dan penolakan terhadap kerajaan.

Penganalisis politik, James Chin berkata kerajaan perlu ‘menggandakan’ pembaharuan, manakala Syaza Shukri berpendapat ia harus mempertimbangkan sentimen rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bekerja lebih keras dalam menyampaikan pelaksanaan dan kemajuan pembaharuan bagi memenuhi jangkaan tinggi rakyat.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu menunjukkan dengan lebih jelas komitmennya untuk memenuhi janji pembaharuan dibuat gabungan itu menjelang PRU 2022.

“Mungkin kementerian tertentu sedang berusaha di sebalik tabir, tetapi saya rasa kerajaan perlu lebih berusaha dalam menyampaikan perkembangan dicapai dan mereka sedang menuju ke arah (memenuhi pembaharuan dijanjikan),” katanya kepada FMT.

Tetapi, Syaza memberi amaran Malaysia tidak harus tergesa-gesa melaksanakan pembaharuan, dengan memberi contoh Rusia dan Venezuela sebagai negara bergerak terlalu cepat.

“Apabila mereka melaksanakan perubahan terlalu tergesa-gesa, ia membawa kepada perbezaan pendapat dalam kalangan segmen tertentu penduduk yang menyebabkan penolakan terhadap kerajaan.”

Beliau berkata, Malaysia sebaliknya perlu menggunakan pendekatan yang mempertimbangkan sentimen rakyat dengan teliti.

Ahad lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan menggesa ahli parti itu belajar daripada kegagalan beberapa gerakan reformasi di seluruh dunia yang pemimpinnya melupakan perjuangan asal selepas menjadi kerajaan.

Ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, Saifuddin berkata, kegagalan gerakan reformasi di Eropah dan Afrika berpunca daripada ketidakcekapan pemimpin menunaikan janji pembaharuan ketika berkuasa.

Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania memuji Saifuddin yang mengakui kelemahan dalam melaksanakan pembaharuan dijanjikan kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu menangani “kemajuan lembab” itu untuk memenuhi komitmennya.

“Isu lebih besar ialah apa akan dilakukan gabungan itu mengenainya (melaksanakan pembaharuan itu),” katanya yang menggesa kerajaan menggandakan pembaharuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.