
Menurut Utusan Malaysia, suspek bersama lima lagi lelaki itu dibebaskan secara berperingkat dengan jaminan SPRM sejak jam 11 pagi tadi.
Peguam semua suspek Mohd Fadhly Yaakob berkata, sekiranya ada keperluan mereka akan dipanggil semula oleh SPRM untuk memberi keterangan.
Anak Menteri Besar Perlis Shukri Ramli dilaporkan antara lima individu direman SPRM pada Rabu lalu bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan membabitkan jumlah RM600,000.
Memetik sumber, perintah reman turut dikenakan ke atas pegawai kanan pejabat menteri besar.
Suspek ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikatakan dikehendaki membantu siasatan berhubung pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Shukri sebelum ini dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara SPRM untuk menjalankan siasatan dan tiada prasangka sekiranya anaknya terbukti bersalah.
Katanya, apa berlaku kepada dirinya dianggap “ujian” selain mengakui kelemahannya kerana “terlalu baik”, serta meletakkan “kepercayaan kepada semua orang”.