
Bruce Gilley, profesor sains politik di Portland State University, berkata dia meninggalkan Malaysia atas kebimbangan terhadap keselamatannya disebabkan “kelompok Islamo-fasis yang dicetuskan kerajaan di sana”.
“Ini bukan negara yang selamat untuk dikunjungi sekarang,” katanya dalam catatan X.
Dalam catatan berasingan, Gilley berkata dia menolak pembayaran balik oleh UM untuk perbelanjaan perjalanan dan penginapan “akibat kelakuannya yang memalukan dan kerajaan Malaysia”.
Sebaliknya, dia melancarkan kempen mengumpul dana di GoFundMe untuk menampung kos berjumlah USD2,346 (RM11,222).
Terdahulu, ahli akademik itu kesal atas kemudaratan dicetuskan catatannya yang mengandungi petikan ceramahnya bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power” di UM kelmarin. Dia kemudian memadam catatan itu.
Dalam ceramah terbabit, Gilley dikatakan memperkecilkan hubungan Malaysia dan AS.
“‘Sebuah negara yang pemimpin politiknya menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan sudah tentu tidak akan menjadi rakan atau rakan kongsi AS’, daripada ucaptama saya semalam (kelmarin) di KL mengenai dasar luar Malaysia,” tulis Gilley di X semalam.
“Ini mengingatkan kembali kepada nasihat (bekas perdana menteri Dr) Mahathir (Mohamad) supaya belajar daripada Jerman bagaimana cara menghapuskan bangsa Yahudi.
“Paling jelas, pada Oktober, Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) Mohamad Sabu menjanjikan satu demonstrasi bahawa ‘Israel akan dihapuskan tidak lama lagi’,” katanya.
Susulan kenyataan Gilley itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir mengarahkan semua program dan aktiviti membabitkan ahli akademik dibatalkan serta-merta.
Gilley dijadualkan memberi tiga ceramah di UM sebagai profesor pelawat.