
Felo penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammed Abdul Khalid berkata penguntukan dana mengikut struktur baharu itu “seimbang” dan “munasabah”.
“Strategi ini menggunakan pendekatan jalan tengah, maka ia tidak mengejutkan.
“Kita tidak dapat elak permintaan untuk pengeluaran lanjut apabila kita benarkan pencarum menggunakan simpanan persaraan pada 2020 dan 2021,” katanya kepada FMT.
Muhammed berkata mewujudkan Akaun 3 merupakan “penyelesaian yang kurang menjejaskan”, memandangkan pencarum mahukan akses kepada wang yang tersimpan.
“Keperluan untuk mewujudkan Akaun 3 ini mungkin tidak timbul sekiranya KWSP tidak benarkan pengeluaran sebanyak empat kali ketika pandemik, yang berjumlah RM150 bilion.
“Bagaimanapun, ia sudah berlaku. Tidak ada gunanya mengenang keputusan lampau sekarang. Bak kata pepatah Melayu, nasi sudah menjadi bubur,” katanya.
Mulai 11 Mei caruman bulanan KWSP akan dibahagi tiga iaitu 75% ke Akaun 1 (Akaun Persaraan), 15% ke Akaun 2 (Akaun Sejahtera), dan 10% ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel).
Simpanan dalam akaun fleksibel boleh dikeluarkan pada bila-bila masa bagi sebarang tujuan, pada pengeluaran minimum sebanyak RM50.
Ketika ini, 70% daripada caruman bulanan pencarum disalurkan ke Akaun 1, yang tidak boleh diakses sebelum persaraan. Baki 30% disalurkan ke Akaun 2, yang boleh diakses bagi tujuan pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, dan pengeluaran sebahagian pada usia 50 tahun.
Muhammad berkata peningkatan 5% bagi Akaun 1 itu adalah usaha KWSP menangani cabaran mengimbangi desakan orang ramai yang mahukan pengeluaran segera dengan membina tabung persaraan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan langkah itu belum dapat menangani kesan lebih luas penuaan penduduk, memandangkan tidak semua pekerja memiliki akaun KWSP.
Muhammad berkata hanya separuh daripada pekerja tanpa pencen menjadi ahli KWSP, bererti ramai pekerja tidak mempunyai perlindungan sosial yang mencukupi.
“Apa yang harus segera diberi perhatian adalah memastikan liputan simpanan persaraan yang menyeluruh, kerana pada masa ini KWSP diwajibkan semata-mata untuk pekerja sektor formal.
“Maka yang paling utama adalah meluaskan kewajipan itu untuk meliputi semua pekerja, terutama mereka di sektor tidak formal,” katanya.
Muhammed juga berkata pekerja upah berpendapatan rendah yang memiliki akaun KWSP berada pada kedudukan yang kurang baik kerana simpanan mereka “terlalu sedikit”.
Beliau berkata median simpanan Akaun 2 bagi individu B40 adalah RM250, manakala kumpulan berpendapatan 10% terendah pula adalah RM10.
“Dalam erti kata lain, golongan yang paling lemah dari segi kewangan tidak diliputi KWSP atau tidak mempunyai simpanan mencukupi.
“Pendekatan yang lebih berkesan memerlukan kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mempertingkat liputan dan kecukupan program-program bantuan tunai. Tanggungjawab itu terletak pada kerajaan, dan bukannya pada KWSP.”