
Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, inisiatif yang dilancarkan PKR baru-baru ini – Pop25 dan Kemas16 – tidak dapat menggantikan prestasi buruk, manakala James Chin berpendapat lebih ramai ahli tidak semestinya dapat menarik lebih banyak sokongan dalam pilihan raya.
Asrul yang pernah bersama penyedia khidmat nasihat strategi, BowerGroupAsia, berkata prestasi buruk kerajaan boleh menyebabkan sebarang strategi atau kempen tidak berkesan.
Ahad lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Konvensyen 25 Tahun parti itu, mengakui pembangkang telah “menciplak” kemahiran partinya dalam media alternatif dan demonstrasi awam.
Beliau kemudiannya memperkenalkan dua inisiatif baharu dinamakan Pop25 dan Kemas16, yang menurutnya akan menjadi strategi parti bagi memastikan sokongan mencukupi terhadap usaha Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengekalkan jawatan perdana menteri pada PRU16.
Rafizi berkata, Pop25 atau Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun akan memfokuskan pemerkasaan organisasi parti, manakala Kemas16 atau Keadilan Menang Siri PRU16 bagi gerak kerja PKR menghadapi PRU16.
Asrul berkata, kedua-dua strategi itu hanya akan berkesan jika ia dicerminkan dalam dasar persekutuan dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Mereka (Pakatan Harapan) akan dinilai berdasarkan rekod prestasi mereka. Sebagai parti menerajui kerajaan persekutuan semasa, PKR tidak boleh lagi sekadar berjanji seperti dilakukan ketika menjadi pembangkang.
“Di pusat pengundian, pengundi akan membuat keputusan bukan sahaja berdasarkan janji, tetapi juga rekod prestasi kerajaan persekutuan,” katanya kepada FMT.
Chin dari Universiti Tasmania berkata, ia merupakan salah anggapan untuk mengandaikan parti akan mendapat lebih banyak sokongan dengan adanya lebih ramai ahli.
Memetik Umno sebagai contoh, katanya, parti itu pernah mempunyai lebih 3.5 juta ahli, “tetapi kiraan undi mereka tidak pernah melebihi 3.2 juta”.
“Keahlian tidak penting. Apa yang penting sekarang ialah menerajui kerajaan dengan berkesan. Jika anda mentadbir dengan baik dan melaksanakan pembaharuan diperlukan, itu akan memastikan anda dipilih semula,” katanya kepada FMT.
Chin berkata, pada 2018, ahli Umno diberi amaran tidak leka hanya kerana ia mempunyai ramai ahli ketika itu.
Tetapi, bagi menjawab dakwaan bukan semua ahli akan mengundi parti masing-masing, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Mustapa Mohamed berkata, 3.5 juta ahli yang dilaporkan itu tidak tepat kerana ada ahli yang keluar parti atau meninggal dunia sebelum PRU14.
PRU14 yang diadakan pada Mei 2018 menyaksikan Umno kehilangan kuasa selama enam dekad sebagai sebahagian daripada Barisan Nasional.