PM jamin SSPA terbaik pernah diperkenal

PM jamin SSPA terbaik pernah diperkenal

Anwar Ibrahim berkata Sistem Saraan Perkhidmatan Awam itu libat implikasi kewangan tertinggi pernah dilakukan.

penjawat awam
Perdana Menteri Anwar Ibrahim nafi kerajaan hanya tumpu kepada penjawat awam sambil menyuarakan golongan itu berada langsung bawah tanggungjawab kerajaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat, antara terbaik pernah diperkenalkan.

Beliau yang juga menteri kewangan, berkata SSPA itu akan membabitkan implikasi kewangan tertinggi pernah dilakukan.

“Setakat ini saya teliti dan saya tegaskan semula, kajian ini dan sistem saraan ini punyai implikasi, kewangan, dan pengiktirafan terbaik yang pernah diperkenal dalam negara.

“Dan ini bukan masalah saudara, masalah kita semua untuk cari dana lebih, saya nak saudara-saudari percaya bahawa saya tidak anggap ini perkara ringan atau enteng,” katanya semasa berucap di Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Bersama Perdana Menteri.

Anwar juga menafikan bahawa kerajaan hanya menumpukan kepada kebajikan penjawat awam sahaja, sebaliknya beliau berkata perhatian turut diberikan kepada permasalahan dihadapi golongan lain seperti petani dan nelayan.

Katanya, beliau ‘dihentam teruk’ kerana dikatakan menumpukan perhatian kepada penjawat awam sahaja, bagaimanapun beliau berpendapat golongan ini tidak boleh disamakan dengan lain.

“Penjawat awam tidak boleh disamakan dengan yang lain sebab saudara itu di bawah tanggungjawab kita secara langsung, tetapi 12 tahun tidak diberi perhatian dalam sistem saraan.

“Jadi, saya jawab pada kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, saya tidak ada pilihan. Saya nak saudara berikan yang terbaik, saya mesti iktiraf sumbangan saudara dan berikan satu sistem saraan yang lebih adil,” katanya.

Anwar berkata beliau juga mahu pimpinan tinggi dalam perkhidmatan awam memastikan semua kelompok penjawat awam mendapat manfaat daripada sistem itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.