
Norhayati Ariffin berkata seorang pegawai SB, Shamzaini Daud, yang berpangkalan di Perlis pergi ke rumahnya pada malam 15 Mei 2018, kelihatan resah dan mahu berterus-terang tentang apa yang berlaku pada Amri.
Menurut Norhayati, Shamzaini beritahu bahawa Amri diawasi oleh sekumpulan pegawai yang diketuai Razman Ramli berhubung dakwaan hubungannya dengan Syiah dan perniagaan tukaran asing.
“Dia kata Razman hantar semua maklumat kepada Awaludin Jadid (bekas penolong pengarah di SB),” katanya.
Norhayati beri keterangan dalam tuntutannya kepada polis dan kerajaan berhubung cara siasatan oleh pihak berkuasa ke atas kehilangan Amri.
Norhayati mendakwa para defendan melanggar undang-undang dan tugas statutori, melakukan misfeasans semasa menjawat jawatan awam, dan cuai ketika menjalankan tugas.
Norhayati berkata Shamzaini beritahu bahawa pegawai-pegawai Bukit Aman telah ‘secara paksa’ mengambil Amri dan tanpa pengetahuan polis negeri.
“Saya tanya Shamzaini mana suami saya tapi dia kata tiada siapa tahu,” katanya, dan menambah ‘pengakuan’ itu membuatkan Norhayati tidak tenang hati.
Katanya Shamzaini meninggalkan rumahnya pada tengah malam, dan selepas itu Norhayati segera menghubungi secara teks dua rakan keluarganya iaiti Aizat Zahid dan Faisol Mustafa tentang pertemuan dengan Shamzaini itu.
Norhayati berkata dia kemudian membuat laporan polis yang membutirkan ‘pengakuan’ Shamzaini.
“Dia juga buat satu laporan polis terhadap saya,” katanya.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam kanan persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin, Norhayati bersetuju bahawa Shamzaini boleh menyokong atau menafikan keterangannya kepada mahkamah.
Norhayati juga berkata Razman dan beberapa pegawai lain menemuinya sehari selepas Amri hilang.
“Razman kata dia salah seorang pegawai penyiasat, dan mendakwa dirinya pakar dalam hal penculikan dan tukaran asing.
“Saya bingung dengan kata-katanya itu'” tambahnya.
Ketika Norhayati memberi keterangan, Hakim Su Tiang Joo tanya tentang kehadiran dua pegawai polis berseragam di mahkamah.
Zetty mengenal pasti mereka sebagai pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen dan Roslan Remeli, yang memerhatikan prosiding.
Amri meninggalkan rumahnya di Kangar pada kira-kira 11.30 malam 24 Nov 2016.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia melakukan suatu inkuiri ke atas kehilangannya, yang berlangsung dari 2017 hingga 2019.
Pada 2021, inkuri itu menyimpulkan Amri mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya SB.
Pendengaran oleh Hakim Su akan bersambung pada 29 dan 30 April. Khor, Roslan, Razman, dan Awaludin dijangka akan beri keterangan.