MoU untuk wujud persefahaman bangunkan negara, Fadillah beritahu Muhyiddin

MoU untuk wujud persefahaman bangunkan negara, Fadillah beritahu Muhyiddin

Minggu lalu, Muhyiddin Yassin berkata Memorandum Persefahaman (MoU) tidak diperlukan jika ikhlas menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

fadillah yusoh n pembangkang
Fadillah Yusof bertemu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin untuk membincangkan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang pada bulan lalu. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Memorandum Persefahaman (MoU) perlu dibuat sebelum peruntukan kepada Ahli Parlimen disalurkan untuk mewujudkan usaha bersama bagi menggerakkan pembangunan negara.

Fadillah menegaskan beliau enggan melayan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang MoU itu tidak diperlukan jika kerajaan ikhlas menyediakan dana itu.

“Saya tak nak komen itu…apa pun yang dia kata, tetapi sekarang ini apa yang kita nak laksanakan kaedah itu (MoU), kalau ikutkan tak perlu pun kerana kerajaan sudah ada dua pertiga.

“Tetapi kita nak laksanakan supaya akhirnya perjanjian itu ada persefahaman untuk gerakkan pembangunan negara, fokus ekonomi dan kesejahteraan rakyat dari segi kestabilan dan keamanan,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya.

Pada 21 April lalu, Muhyiddin berkata tidak perlu ada MoU jika kerajaan perpaduan ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Muhyiddin berkata keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat kerajaan perpaduan adalah ‘mempertimbangkan’ bagi penyaluran peruntukan.

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat kerajaan perpaduan bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Satu draf MoU akan dirangka untuk dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata beliau tidak hairan jika isu peruntukan itu akan dimainkan pembangkang pada PRK Kuala Kubu Baharu.

“Apa pun yang kita buat, dari segi politik, pembangkang akan membangkitkan apa sahaja isu.

“Itu memang biasa dalam politik. Yang penting ialah keikhlasan kita untuk mempertimbangkan dan secara prinsip sudah dipersetujui,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.