
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Zulqarnain Onn berkata bermula tarikh itu dua akaun sebelum ini akan distruktur semula kepada tiga akaun yang dikenali sebagai Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Katanya, Akaun Persaraan adalah untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan dan Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.
“Manakala Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan pada 11 Mei, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.
Tambahnya, semua caruman akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan iaitu Akaun Persaraan (75%), Akaun Sejahtera (15%) dan Akaun Fleksibel (10%).
“Bagaimanapun, antara 11 Mei hingga 31 Ogos, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian baki simpanan dalam Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.
“Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara,” katanya.
“Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.”
Berikut adalah kaedah pindahan mengikut pecahan yang ditetapkan.
Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas:
- Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel
- Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan
- Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.
Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000:
- Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
- Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya kekal dalam Akaun Sejahtera.
Menurut KWSP, ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa selepas tempoh kuat kuasa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.
Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata penstrukturan semula akaun itu adalah bagi memperkasa ahli dalam membuat keputusan untuk mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya.
Zulqarnain berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.
“Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini.”