Kalau Malaysia tak selamat kenapa datang, menteri jawab Gilley

Kalau Malaysia tak selamat kenapa datang, menteri jawab Gilley

Akaun X Bruce Gilley memaparkan dia menggunakan pengangkutan awam dan melawat beberapa pusat tumpuan di ibu kota, seperti taman burung dan Petaling Street.

Menteri Khaled Nordin menyindir catatan Bruce Gilley di platform X, menyusuli kecaman terhadap profesor itu berkaitan syarahannya di UM baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin secara sinis menyindir ahli akademik dari Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley, yang menyatakan negara ini tidak selamat dikunjungi.

“Kalau tak selamat mengapa dia datang,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Gilley dikecam pelbagai pihak kerana mendakwa Malaysia mahukan “Holocaust kedua terhadap orang Yahudi” ketika menyampaikan ceramah di Universiti Malaya (UM).

Gilley yang juga profesor sains politik di Universiti Portland State berkata dia meninggalkan Malaysia atas kebimbangan terhadap keselamatannya disebabkan “kelompok Islamo-fasis yang dicetuskan kerajaan di sana”.

“Ini bukan negara yang selamat untuk dikunjungi sekarang,” katanya dalam catatan X.

Semakan FMT di akaun X milik Gilley mendapati dia melawat beberapa pusat tumpuan di ibu kota seperti Taman Burung Kuala Lumpur dan Petaling Street. Malah beliau menggunakan LRT, sambil memuji kemudahan koc wanita.

“Seksyen khas wanita di metro (LRT) Kuala Lumpur yang bersih, selamat, dan efisien. Bertamadun,” katanya.

FMT turut menghubungi Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir menulis sekarang masanya untuk Gilley merenung kembali pendiriannya.

“Menikmati kebahagian di Malaysia, bebas dari pergolakan, ancaman, atau ketaksuban. Tapi sekarang mempersoalkan keselamatan di negara ini?” kata Zambry di platform X.

“Mungkin anda perlu fikir semula pendapat anda.”

Sebelum ini, Zambry mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri Gilley dibatalkan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.