
Adun Bemban itu mempersoalkan sama ada kerajaan negeri takutkan sesuatu.
“Malah, Adun Rembia dari blok kerajaan (Jailani Khamis dari Umno) juga ditarik balik peruntukan kerana tidak ‘sebulu’ dengan pimpinan kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penafian dana itu menunjukkan kerajaan negeri bersikap selektif dan tidak ikhlas dalam membantu rakyat.
“Masanya akan tiba. Biarkan rakyat menilai keangkuhan kerajaan yang ada sekarang memperlekehkan mandat rakyat.”
Ahad lalu, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusof berkata, kerajaan negeri tidak bercadang memberi dana kepada Adun pembangkang dan tidak akan mempertimbangkan sebarang permintaan.
Rauf berkata, dana sebaliknya disalurkan kepada penyelaras dilantik kerajaan negeri bagi kerusi DUN Sungai Udang, Bemban dan Rembia.
Daripada 28 kerusi di DUN Melaka, hanya terdapat dua wakil pembangkang, iaitu Yadzil dan Dr Aleef Yusof (Sungai Udang), kedua-duanya dari Bersatu.
Pada Mac 2023, Adun Rembia yang juga bekas exco, Muhammad Jailani Khamis dilaporkan berkata, beliau tidak menyokong Rauf yang mengambil alih jawatan ketua menteri daripada pendahulunya, Sulaiman Md Ali.
Jailani turut membidas kerajaan Melaka dengan berkata, beliau dilayan seperti Adun “kelas kedua” walaupun masih menjadi sebahagian daripada blok kerajaan di DUN.
Beliau bertegas masih merupakan wakil rakyat Rembia dan perlu diberikan dana untuk berkhidmat sebaik mungkin, walaupun beliau digantung enam tahun oleh Umno.