Wakil rakyat Sabah perlu bersungguh tuntut hak negeri, kata penganalisis

Wakil rakyat Sabah perlu bersungguh tuntut hak negeri, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung berkata wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang berdepan risiko ditolak pada PRN jika gagal menunjukkan kesungguhan.

DUN Sabah kelmarin dimaklumkan negeri itu meminta data daripada kerajaan pusat sebanyak lapan kali bagi menentukan jumlah wajar dituntut berkait pemberian khas bawah Perjanjian Malaysia 1963. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Sabah berdepan risiko ditolak pada PRN jika gagal menunjukkan kesungguhan menuntut hak negeri daripada Putrajaya, kata penganalisis merujuk pemberian khas 40% daripada hasil persekutuan di Negeri di Bawah Bayu itu.

Tempoh rundingan pemberian khas bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadual berlangsung selama setahun dan akan tamat 18 Julai ini, namun sehingga kini formula pemberian khas itu masih dalam rundingan.

Malah, Menteri Kewangan negeri, Masidi Manjun memaklumkan sidang DUN kelmarin bahawa Sabah meminta data daripada kerajaan persekutuan sebanyak lapan kali bagi menentukan jumlah wajar dituntut, namun masih tiada jawapan.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, tuntutan pemberian khas itu termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, dan ia perlu diperjuangkan sebaik mungkin oleh semua wakil rakyat Sabah termasuk pembangkang.

“Risiko ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang sekiranya gagal menunjukkan kesungguhan berjuang demi rakyat Sabah,” katanya kepada FMT, sambil menambah kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim juga berdepan risiko kehilangan sokongan rakyat negeri itu jika terus mengabaikan tuntutan mereka.

Lee Kuok Ting.

“Lapan kali belum ada jawapan munasabah benar-benar mengecewakan,” kata Lee, menegaskan perdebatan hangat antara blok kerajaan dan pembangkang di DUN berhubung isu itu hanya “sebahagian kecil” daripada realiti sebenar kekecewaan rakyat Sabah terhadap Anwar.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Tan Lee Fat, dilaporkan berkata kerajaan Sabah tetap dengan formula asal pemberian khas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu dua per lima atau 40% daripada hasil bersih persekutuan di Sabah.

Sejak rundingan amaun pemberian itu dimulakan, katanya kerajaan persekutuan membayar RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta tahun lalu, yang mana kerajaan negeri menerima bayaran itu sebagai penyelesaian interim.

Bagi Pensyarah Kanan Pembangunan Manusia dan Politik Identiti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Romzi Ationg, suara dibangkitkan pelbagai pihak di Sabah jika tidak ditangani secara berhemah oleh Anwar akan beri kesan sampingan kepada pentadbirannya termasuk hubungan dingin antara negeri dan Putrajaya.

Romzi Ationg.

“Kerajaan Madani imejnya sedang bermasalah…tambahan lagi jika dia tak melayan permintaan begitu lagilah bermasalah.

“Jadi Anwar kena fokus untuk meningkatkan semula popularitinya dengan kaedahnya adalah menyelesaikan tuntutan-tuntutan ini. Jika tidak saya bimbang PRN akan datang, pengaruh Anwar makin merosot.”

Katanya, data semasa rundingan juga tidak wajar didedahkan kepada umum bagi menjaga sensitiviti semua pihak.

“Mungkin data ketika tahun 90-an menunjukkan ada kesilapan, ada kecurangan…itu perlu ditutup jangan terbuka (didedahkan) sebab bila orang Sabah dapat benda tu dia akan mengguris hati dan akhirnya menyebabkan pandangan orang Sabah terhadap persekutuan negatif. Umum bila sudah ada keputusan akhir sahaja,” katanya.

Lee pula menambah: “Isu MA63 pasti akan menjadi topik paling hangat pada PRN dan PRU16 serta sokongan daripada Sabah Sarawak amat penting bagi mana-mana calon yang ingin menjadi perdana menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.