Saksi tak pasti sama ada Najib arah bayaran USD700 juta kepada Good Star

Saksi tak pasti sama ada Najib arah bayaran USD700 juta kepada Good Star

Pegawai penyiasat Nur Aida Arifin berkata beliau tidak fikir soalan itu penting.

Pegawai SPRM, Nur Aida Arifin, beritahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau percaya tindakan Jho Low berdasarkan arahan Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku kepada Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak menyoal Najib Razak sama ada beliau mengarahkan seorang eksekutif 1MDB untuk meremit USD700 juta kepada sebuah syarikat milik ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin; Nur Aida Arifin memberitahu perbicaraan kes dana berkait 1MDB bahawa dia tidak menganggap soalan itu penting.

Wan Azwan: Ada kamu tanya Najib apakah arahan untuk memindahkan 70% daripada jumlah pelaburan USD1 bilion itu daripada beliau?

Aida: Saya hanya tanya Shahrol Azral Ibrahim Halmi (CEO dan pengarah 1MDB ketika itu).

Wan Azwan: Ada kamu tanya Najib?

Aida: Tidak ada.

Wan Azwan: Tidakkah anda fikir anda sepatutnya bertanya kepada Najib?

Aida: Tidak, saya tidak fikir ia penting.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukanya mendakwa 1MDB menyertai suatu perjanjian usahasama dengan Petro Saudi International Ltd, yang mana 1MDB dikehendaki menyumbang USD1 bilion, bersamaan 40% daripada ekuiti dalam projek itu.

Bagaimanapun, hanya USD300 juta dibayar untuk usahasama itu, manakala baki USD700 juta dilencongkan ke Good Star.

Pihak pendakwaan juga mendakwa Shahrol menandatangani perjanjian usahasama dengan PetroSaudi Holding, iaitu sebuah entiti di Kepulauan Cayman.

Ketika pemeriksaan balas, Aida bersetuju Najib tidak mengarahkan lembaga 1MDB atau Shahrol menandatangani perjanjian dengan entiti di Kepulauan Cayman itu.

Saksi pendakwaan ke-49 itu bagaimanapun menolak cadangan oleh peguam Najib bahawa Shahrol merupakan pengkomplot bersama Low.

“Saya percaya semua tindakan Low berdasarkan arahan Najib,” katanya.

Sebelum ini, bekas pengerusi 1MDB, Bakke Salleh, memberitahu mahkamah bahawa Najib tidak menjawab kebimbangannya mengenai hal ehwal 1MDB, yang dibangkitkan menerusi SMS.

Bakke berkata beliau tidak berpuas hati pemindahan USD700 juta itu tidak dibincangkan dengannya atau pengarah lain.

Pihak pendakwaan juga mendakwa Najib bersekongkol dengan Low untuk mencuri jutaan ringgit daripada 1MDB.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.