
Seorang menteri Pakatan Harapan (PH) memberitahu FMT, DAP akan mencalonkan Pang Sock Tao, setiausaha akhbar Nga.
Bagaimanapun, FMT tidak dapat mengesahkan perkara ini dan sudah menghubungi Pang untuk mendapatkan komen.
Nga enggan mengaku mahupun menafikan perkara ini, meminta pihak media “tunggu pengumuman malam ini”, lapor MalaysiaGazette.
DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor diwakili oleh Adun berbangsa Cina sejak 2004. Penyandang kerusi itu sepanjang tiga penggal lepas ialah Lee Kee Hiong daripada DAP, yang meninggal dunia akibat kanser baru-baru ini.
Terdahulu, Nga yang juga naib pengerusi DAP dikecam hebat susulan pengumuman bahawa RM5.21 juta telah diperuntukkan bagi penduduk Hulu Selangor, yang juga akan digunakan untuk projek di pekan Kuala Kubu Baharu.
Menteri itu menafikan peruntukan itu diberikan memandangkan PRK akan diadakan, sebaliknya memberitahu kawasan itu dipilih kerana ia “tempat bertuah” dan mempunyai “feng shui yang bagus”.