Masih terlalu awal lihat potensi MIPP dalam PN, kata penganalisis

Masih terlalu awal lihat potensi MIPP dalam PN, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat kemampuan Presiden MIPP P Punithan yang belum diuji dan kurang popular dijangka tidak memberi impak besar kepada Perikatan Nasional.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyerahkan surat kepada Presiden MIPP, P Punithan sebagai penyertaan parti itu sebagai anggota penuh PN. (Gambar P Punithan)
PETALING JAYA:
Masih terlalu awal untuk mengangkat kemampuan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang diketuai bekas ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan dalam menarik pengundi berbangsa India, kata penganalisis politik.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berpendapat, parti komponen baharu Perikatan Nasional (PN) itu mungkin memerlukan bantuan dari pemimpin lain untuk membentuk sokongan yang kukuh, terutama menjelang PRK Kuala Kubu Baharu.

“Kita harus melihat sejauh mana agenda besar yang dibawa itu mampu untuk mendampingi masyarakat India. Mungkin juga ada beberapa pemimpin akan membantu Punithan menarik sokongan.

“Tapi sejauh mana dapat lakukannya, saya rasa masih awal, dia (Punithan) belum diuji, barangkali ujian pertamanya adalah di Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat kerjasama antara MIPP dan PN mungkin tidak memberi impak besar dan mungkin hanya memecahkan undi kaum India.

Ujarnya, MIPP memberikan pilihan yang lebih luas kepada pengundi India, tetapi kepimpinan parti baharu itu yang kurang berpengaruh mungkin tidak akan memberi kesan yang signifikan di dalam PN.

“Walaupun dia (Punithan) tak popular, tapi sekurang-kurangnya PN menunjukkan mereka ada parti India bersama mereka. Dari satu segi memberikan pilihan yang lebih luas kepada orang India untuk memilih, tetapi pada masa yang sama ia memecahkan (undi),” katanya.

Isnin lalu, MIPP diterima menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai anggota penuh gabungan itu selepas membuat permohonan pada 2023.

Punithan berkata penerimaan MIPP membuktikan PN memberikan keutamaan kepada masyarakat India.

Katanya, MIPP juga komited merangka agenda dan naratif pembangunan ekonomi yang holistik untuk masyarakat India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.