Ejen dalam talian, sewaan jangka pendek bukan bidang kuasa kami, kata menteri S’wak

Ejen dalam talian, sewaan jangka pendek bukan bidang kuasa kami, kata menteri S’wak

Menteri Pelancongan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kementerian persekutuan bertanggungjawab atas perkara itu.

Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa hotel bajet tidak menaikkan kadar sewa kerana mereka sudah mendapat keuntungan daripada peningkatan jumlah pengunjung ke Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengawalan ejen pelancongan dalam talian dan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengeluarkan lesen atau permit bagi agensi pelancongan, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengawal selia STRA.

“Saya tidak fikir kementerian saya bertanggungjawab atas sebarang ancaman yang dirasakan kepada pengusaha hotel bajet di Sarawak,” katanya menurut The Borneo Post.

Karim mengulangi gesaannya supaya hotel bajet tidak menaikkan kadar sewa kerana mereka sudah mendapat keuntungan daripada peningkatan jumlah pengunjung ke Sarawak.

Beliau memberi jaminan kepada hotel bajet di Sarawak, kementeriannya akan campur tangan jika isu dengan STRA mula memberi kesan ketara kepada industri pelancongan kerana kementeriannya bertanggungjawab menggalakkan pertumbuhan pengunjung dan memastikan pengalaman perjalanan positif.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) pada Sabtu lalu yang berkata, hotel bajet di Sarawak mungkin mempertimbangkan menaikkan kadar sewa kerana ancaman tidak dapat diselesaikan terhadap industri itu.

Presiden MyBHA, Sri Ganesh Michiel dilaporkan merayu kepada Karim untuk membantu mereka susulan cabaran dihadapi pengusaha hotel bajet.

Selain saingan daripada penyedia penginapan tidak berlesen, katanya, penukaran unit kediaman tidak terkawal kepada penginapan jangka pendek dan diiklankan di portal dalam talian serta kurang tindakan terhadap pengusaha tidak berlesen.

MyBHA sebelum ini memberi amaran kenaikan kadar 30% hingga 40% dalam tempoh tiga bulan akan datang atas pelbagai faktor yang menjejaskan kos operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.