DAP, MCA sukar cari titik pertemuan, kata penganalisis

DAP, MCA sukar cari titik pertemuan, kata penganalisis

Jurang yang besar antara kedua-dua parti itu menyukarkan pencarian titik pertemuan sekaligus kerjasama.

MCA tidak mahu dibayangi DAP selain bimbang kemenangan PH akan menjatuhkan maruahnya.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat DAP dan MCA sukar mencari titik pertemuan meskipun terdapat usaha untuk melibatkan parti pimpinan Wee Ka Siong itu dalam kempen kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurut Jayum Jawan daripada Universiti Putra Malaysia, jurang yang besar antara kedua-dua parti itu menyukarkan pencarian titik pertemuan sekaligus kerjasama, dengan MCA hanya mendapat sokongan tipis daripada masyarakat Cina.

Katanya, MCA perlu mengukuhkan kedudukan terlebih dahulu bagi memungkinkan pertemuan tersebut.

“MCA nak bangkit kena ada barisan pemimpin baharu, dan pemimpin itu bukan Wee Ka Siong,” katanya kepada FMT.

“Dia kena ada pemimpin baharu, berkaliber, muda, berpendidikan, mempunyai pandangan sederhana, barulah orang Cina akan pandang balik.”

Jayum mengulas perselisihan antara dua anggota kerajaan perpaduan itu, dan kemungkinan mereka perlu cari suatu titik pertemuan.

Ketika DAP bersiap sedia untuk mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu dari kemaraan Perikatan Nasional, MCA mengumumkan ia tidak akan terlibat dengan kempen jika calon bukan daripada Barisan Nasional.

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata beliau akan mencari jalan ‘memujuk’ MCA turun membantu kempen calon Pakatan Harapan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat MCA dan rakannya, MIC, tidak mahu dibayangi DAP selain bimbang kemenangan PH akan menjatuhkan maruah kedua-dua parti.

“Mereka juga tahu yang mereka tak boleh tarik sokongan bukan Melayu di Kuala Kubu Baharu tanpa ada DAP. Keadaan ini akan memburukkan lagi persepsi MCA dan MIC begitu lemah,” katanya.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat tiada cara untuk menjadikan MCA relevan melainkan menunggu DAP melakukan kesalahan serius sehingga ditolak pengundi Cina.

“Kalau ia berlaku, masyarakat Cina, kalau dia tak suka MCA pun, dia boleh bertindak menggunakan undi protes.

“Ketika ini MCA pasif, dia tak boleh berperanan aktif. Tak kira apa yang mereka buat, jika buat salah kena kritik, kalau buat betul tak tentu orang rasa dia buat betul.

“Pemikiran masyarakat Cina agak kekal buat masa ini (menyokong DAP),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.