
Anaknya, Abdul Rahmat Omar, menjawab laporan Malaysia Gazette yang menulis pertukaran lokasi itu “difahamkan dilakukan atas permintaan ahli keluarga” Hanif.
Jenazah Hanif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di Damansara pada 3.15 petang Sabtu; selepas dimandi, dikafankan, disolat, dan diberi penghormatan terakhir di Masjid Negara.
Hanif, 85, disahkan meninggal dunia pada 2.15 pagi hari yang sama.
Menurut kronologi Rahmat, beliau memaklumkan kematian ayahnya itu pada 3.16 pagi diikuti pemakluman jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
“Tiada maklumat pengebumian dapat diputuskan sehingga mendapat maklum balas Sekretariat PDRM dan Bahagian Kebajikan PDRM.
“8.40 pagi: saya mengeluarkan maklumat terakhir iaitu setelah disembahyangkan di Masjid Al-Ikhlas, jenazah akan dibawa ke Masjid PDRM Bukit Aman untuk penghormatan terakhir dan disembahyangkan sekali lagi sebelum dibawa ke Bukit Kiara,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, menurutnya lebih kurang 9.45 pagi, beliau dimaklumkan polis supaya mempertimbangkan untuk jenazah dibawa ke Masjid Negara bagi semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan.
“Setelah berbincang dengan ibu saya, kami bersetuju. Ini merupakan maklumat dan komunikasi terakhir mengenai pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham sehinggalah pengumuman dibuat oleh imam Masjid Negara memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan di Bukit Kiara.
“Tidak ada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol dengan keluarga, lebih-lebih lagi dengan saya sebagai waris dan wakil keluarga,” katanya.
Menurut Rahmat, kenyataan itu dibuat susulan dakwaan pertukaran lokasi pengebumian dibuat keluarga, selain ada pihak membuat andaian berbaur politik tidak sihat.