Khazanah Nasional sedia RM1 bilion untuk syarikat berpertumbuhan tinggi

Khazanah Nasional sedia RM1 bilion untuk syarikat berpertumbuhan tinggi

Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu seiring komitmen kerajaan meningkatkan syarikat tempatan terutama usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelaburan RM3 bilion dalam usaha merancakkan industri syarikat pemula di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat berinovatif dan berpertumbuhan tinggi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata inisiatif itu seiring komitmen kerajaan meningkatkan syarikat tempatan digariskan pada Belanjawan 2024, terutama membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anwar turut mengumumkan beberapa pelaburan dalam usaha merancakkan lagi industri syarikat pemula di Malaysia.

Katanya, ini termasuk pelaburan berjumlah RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN meliputi Khazanah, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), dan Blue Chip Venture Capital.

Sidang Kemuncak KL20 2024, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi, bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.