
Persatuan Pembedahan Toraks Dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) berkata, kira-kira 1,500 pesakit jantung sedang menunggu giliran pembedahan di hospital awam, dan jumlah itu dijangka bertambah jika pengiktirafan pakar-pakar bedah tersebut terus ditangguhkan.
Memuji usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadakan mesyuarat peringkat tinggi minggu lepas bagi menyelesaikan kebuntuan ini, jurucakap MATCVS berkata, langkah ini akan menjadi berita yang dialu-alukan bagi pesakit dan keluarga mereka.
“Gesaan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir minggu lepas agar kumpulan bertikai berhenti berbalah mengenai perkara itu untuk kebaikan penjagaan kesihatan negara tepat pada masanya.
“Jumlah pesakit semakin bertambah, dengan hanya terdapat 14 pakar bedah kardiotoraks di hospital awam pada masa ini,” katanya.
Empat pakar bedah kardiotoraks lulusan program laluan selari sedang menunggu pengiktirafan, manakala 28 yang lain masih dalam pelbagai peringkat melengkapkan program itu.
Jurucakapnya berkata, persatuan itu bersetuju dengan menteri-menteri bahawa kedua-dua program latihan laluan selari di institut luar negara dan program sarjana di universiti tempatan mesti wujud seiring tanpa halangan.
Kewujudan seiring program-program sedemikian penting untuk memastikan bilangan maksimum pakar yang berkualiti dan bertaraf tinggi dapat dihasilkan, tambahnya.
Katanya, MATCVS, yang terlibat dalam latihan laluan selari, telah memberikan jaminan bahawa kurikulum program-program tersebut dijamin kualitinya oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) dan mengikut piawaian dan syarat yang sama dalam kurikulum perubatan pasca siswazah di Malaysia.
“Kualitinya turut dijamin oleh kurikulum antara kolej United Kingdom bagi pembedahan kardiotoraks, yang dikawal selia oleh Majlis Perubatan Am UK (GMC).
“Peperiksaan akhirnya juga mengikut piawaian dan format yang sama seperti yang dijalankan di UK dan dikawal selia oleh GMC,” katanya.
“(Peperiksaan tersebut) sama dan satu-satunya peperiksaan dan kelayakan akhir dalam bidang pembedahan kardiotoraks yang diguna pakai dan diiktiraf di Hong Kong, Singapura dan Brunei.”
Beliau berkata, graduan program latihan laluan selari kardiotoraks telah menerima pengesahan daripada GMC bahawa mereka layak untuk mendaftar sebagai pakar di UK.
Persatuan itu menggesa pengkritik program laluan selari tersebut untuk membabitkan diri secara langsung dalam libat urus bersamanya untuk mendapatkan penjelasan.
“Seperti yang Zambry katakan, sudah tiba masanya untuk (kita) bekerjasama untuk mengelakkan kenyataan yang menimbulkan kekeliruan bagi kedua-dua profesion perubatan dan orang ramai,” katanya.