Wanita simbah air panas terhadap lelaki OKU ditahan

Wanita simbah air panas terhadap lelaki OKU ditahan

Suspek dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.

Tangkap layar video tular menunjukkan wanita menyimbah air panas terhadap lelaki OKU dalam lif.
PETALING JAYA:
Suspek yang menyimbah air panas terhadap lelaki orang kurang upaya (OKU) sindrom down dalam lif di Jalan Rajawali I-Park, Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam sudah ditahan.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Jafri Md Zain, berkata wanita berusia 39 tahun itu ditahan di bawah apartmen berkenaan pada 9.12 malam.

“Polis menahan wanita itu ketika mahu pulang ke rumahnya. Kita turut merampas beg tangan dan bekas air disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian.

“Suspek dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki OKU berusia 33 tahun melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah air panas oleh jirannya.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 20 saat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.