
Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, ahli-ahli akar umbi yang kecewa juga mungkin berpaling tadah kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Memandangkan isu politik tempatan (Sabah) akan lebih menonjol pada PRN akan datang, ahli-ahli akar umbi ini akan tertarik dengan janji Gagasan Rakyat mengenai nafas baharu politik tempatan,” kata Bilcher kepada FMT.
Beliau berkata, sekiranya kemelut PKR tidak diselesaikan dengan segera, parti itu akan kehilangan sokongan akar umbi kepada Gagasan Rakyat, parti yang dilihat lebih dekat di hati mereka.
Katanya, ini juga terpakai bagi parti-parti lain di Semenanjung yang mempunyai cawangan di Sabah.
Memetik duluan perkara ini, beliau berkata, kemelut dalaman Bersatu Sabah mendorong pemimpin tertinggi parti itu, termasuk Hajiji, menyertai Gagasan Rakyat pada Disember 2022.
“PKR mungkin mengalami perpecahan yang sama,” tambahnya.
Ketua PKR Kota Marudu Sazalye Donol mengumumkan pada 17 Mac bahawa ketua 15 daripada 26 bahagian parti itu di Sabah mahu Sangkar Rasam meletak jawatan sebagai ketua parti negeri.
Bagaimanapun, Ketua Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew menegaskan bahawa parti itu tidak akan “retak” memandangkan ia pernah berdepan cabaran yang sama sebelum ini.
Pada Disember 2021, 17 ketua bahagian menggesa Liew disingkirkan sebagai ketua PKR Sabah, dengan alasan pengaruh parti sebagai parti pembangkang utama di negeri itu semakin merosot.
Pada masa itu, ketua bahagian Tawau, Tommy Thomas mendakwa pemimpin-pemimpin bahagian ini telah menandatangani akuan berkanun menolak kepimpinan Liew.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka bertemu pemimpin tempatan dalam usaha menyelesaikan kemelut itu dalam lawatannya ke Sabah untuk menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan hari ini.
Penganalisis politik James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, kemelut itu bukan sahaja akan menjejaskan kedudukan PKR di Sabah tetapi juga mencemarkan nama baiknya pada peringkat kebangsaan.
“Rakyat akan bertanya kenapa Anwar tidak boleh menguruskan (kemelut itu) memandangkan beliau (juga) perdana menteri,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berpendapat kemelut dihadapi PKR tidak akan memberikan kesan yang ketara bagi prospek parti itu pada PRN Sabah.
“Kejayaan PKR pada pilihan raya lalu lebih mempunyai kaitan dengan pengaruh PH berbanding kedudukan parti itu sendiri,” katanya kepada FMT.
“Malah pada peringkat persekutuan, (PKR) turut kucar-kacir, terutamanya pada musim pemilihan parti.
“Parti itu terdiri daripada campuran pelbagai puak yang mempunyai berbagai-bagai agenda dan pemimpin yang sangat lantang. Jadi kita tak patut terkejut sekiranya krisis seperti itu berulang.”