Isu PKR Sabah diputuskan dalam masa terdekat, kata Anwar

Isu PKR Sabah diputuskan dalam masa terdekat, kata Anwar

Presiden PKR berkata beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat PKR pusat selepas bertemu dan berunding dengan semua ketua bahagian di Sabah.

Anwar Ibrahim (tengah) bergambar dengan ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR dan 26 ketua bahagian Sabah selepas perjumpaan khas di sebuah hotel di Kota Kinabalu pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu kemelut kepimpinan PKR Sabah membabitkan ketuanya Sangkar Rasam akan diputuskan pimpinan pusat dalam masa terdekat, kata Presiden Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau telah berunding dengan ketua-ketua PKR negeri itu yang telah memberi pandangan berhubung kemelut terbabit.

“(Kita) berunding dengan ketua cabang (di Sabah)…mereka beri pandangan kepada saya untuk pertimbangan (dan) kita akan rujuk kepimpinan pusat.

“Kepimpinan pusat akan berunding dan buat keputusan dalam masa terdekat,” katanya selepas mempengerusikan perjumpaan khas kepimpinan PKR Sabah di Kota Kinabalu, menurut Bernama.

Perjumpaan itu turut dihadiri semua ketua bahagian di Sabah, termasuk Sangkar dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, memberitahu Sinar Harian, lazimnya seperti proses seperti di negeri lain presiden akan bawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang berlangsung esok.

“Mungkin kalau semua berjalan lancar, kita mungkin ada pengumuman esok,” katanya.

Baru-baru ini, 15 daripada 26 ketua bahagian diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar berundur secara terhormat atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.

Sazalye dilaporkan berkata, mereka menyuarakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui akuan berkanun.

Sangkar kemudian menolak gesaan meletak jawatan dengan berkata, kritikan terhadap kepimpinannya menjejaskan gerak kerja parti menjelang PRN dan menggesa ahli tidak membuang masa kerana pergolakan dalaman PKR Sabah bukan julung kali berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.