
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Allahyarham adalah individu paling lama memegang jawatan KPN selama 20 tahun dan banyak melakukan perubahan dalam menjaga kebajikan warga polis.
“Pada saya Allahyarham merupakan seorang legenda bagi PDRM. Ketika beliau mengetuai PDRM, keadaan aman dan kebajikan pegawai serta anggota memang terjaga. Beliau sebagai legenda dalam PDRM,” katanya menurut Bernama.
Beliau ditemui ketika memberi penghormatan terakhir di kediaman Hanif di Seksyen 13, Shah Alam.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.
Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang memegang jawatan KPN keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Jan 1994.
Razarudin berkata, bapanya termasuk beliau sendiri sempat berkhidmat bawah kepimpinan Allahyarham selama lebih 10 tahun bermula daripada pangkat inspektor sehingga ASP.
Dalam pada itu, beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara dari kediamannya di Shah Alam pagi ini untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Sementara itu, KPN kelapan Musa Hassan menyifatkan Allahyarham sebagai ketua yang tegas dan prihatin terhadap pegawai bawahan sepanjang memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan polis itu.
Beliau berkata Hanif banyak membuat perubahan dalam pasukan polis selain menjalankan pelbagai risikan terutama terhadap ancaman komunis ketika itu.
“Beliau merupakan ketua saya semasa berkhidmat di polis kontinjen Melaka dan waktu itu saya berpangkat inspektor dan beliau ketua polis Melaka.
“Beliau sungguh prihatin. Selalu panggil pegawai dan anggota bawahan untuk memberi nasihat…saya ingat lagi, setiap Isnin beliau akan mengadakan mesyuarat melibatkan semua inspektor dan pegawai untuk mendapatkan maklumat berhubung tugasan kami,” katanya ketika dihubungi.