
Ketika pengurusan kes di depan Penolong Kanan Pendaftar Azmi Aman, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 24 Mei ini.
Azmi berkata, Yasin perlu memaklumkan mahkamah mengenai perkembangan lantikan peguam seminggu sebelum tarikh itu.
“Rekod rayuan akan diserahkan pada sebutan semula kes itu, kemudian langkah seterusnya hanya akan dimaklum pada tarikh berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Yasin, 49, yang diiringi polis dan kakitangan Hospital Bahagia Ulu Kinta ke mahkamah hari ini berkata, dia akan memaklumkan perkara itu kepada pihak mahkamah dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pengalamannya di sebalik tirai besi akan dikongsi dalam buku bakal diterbitkan tidak lama lagi.
“Saya ada tulis buku, belum siap lagi, ia pengalaman sepanjang saya berada di penjara dan di hospital bahagia. Nama buku itu ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’, namun saya tidak pasti dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain.”
Pada 29 Nov lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan Yasin ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak, selepas melepas dan membebaskannya atas tiga pertuduhan dadah.
Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan Yasin menjalani rawatan di hospital itu selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor.
Pada 6 Julai 2022, Yasin tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar 214g kanabis, selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan mengedar dadah dan dia dituduh semula atas pertuduhan baharu memiliki 193.7g dadah.
Yasin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada 5.30 petang 24 Mac 2022.