
Peguam A Surendra Ananth, yang mewakili wanita itu, ketika dihubungi memberita pihaknya telah menerima sepucuk surat mahkamah memaklumkan perkara itu.
Beliau berkata, keputusan akan disampaikan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.
Pada 19 Feb lalu, panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar hujah peguam mewakili wanita itu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan penasihat undang-undang negeri Selangor bagi pihak kerajaan negeri.
Wanita itu merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 13 Jan 2023, yang mengembalikan status agamanya sebagai seorang Islam.
Wanita itu berkata, beliau masih kecil ketika ibunya bertindak mengislamkannya pada 1991. Beliau berkata, ibunya telah berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam selepas bercerai dengan bapa wanita itu.
Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama dianuti sejak dilahirkan.
Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan dia tidak lagi beragama Islam.
Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.
Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa beliau bukan beragama Islam.
Bagaimanapun, keputusan itu diketepikan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Mais dan kerajaan Selangor.
Pada 23 Mei 2023, wanita itu kemudian mendapat kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan membangkitkan enam persoalan undang-undang yang perlu diputuskan mahkamah.