Tolak kekasih jatuh kondo, mahkamah arah pemandu lori rujuk Hospital Bahagia

Tolak kekasih jatuh kondo, mahkamah arah pemandu lori rujuk Hospital Bahagia

V Nathan, 37, didakwa membunuh seorang wanita warga Thailand di sebuah kondominium di Setia Alam pada 28 Feb lepas.

V Nathan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh teman wanitanya, seorang warga Thailand, di Setia Alam, pada Februari. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang pemandu lori, yang didakwa menolak teman wanitanya sehingga jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Sivahnanthan Ragava supaya V Nathan, 37, dihantar untuk pemerhatian psikiatri kerana keadaan mentalnya dipercayai tidak stabil.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun ini untuk menerima laporan psikiatri terkini tertuduh.

Terdahulu, Sivahnanthan yang membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah memberitahu mahkamah, sukar untuk pihaknya mendapatkan arahan daripada anak guamnya kerana dia tidak responsif.

“Anak guam saya telah terbabit dalam kemalangan kenderaan bermotor pada 2018 dan mengalami kecederaan ringan di kepala, mengakibatkan pendarahan intrakranial (ICB) dan ‘pneumocranium’,” katanya.

“Saya bimbang dia akan melakukan sesuatu yang buruk ke atas dirinya jika dihantar ke penjara, jadi saya memohon pihak mahkamah yang mulia ini supaya menghantarnya untuk pemeriksaan psikiatri.”

Sivahnanthan turut mengemukakan kepada mahkamah memo perubatan tertuduh yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Selepas tidak menerima bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman, majistret memerintahkan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan.

Nathan didakwa membunuh warga Thailand, Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Setia Alam pada 28 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.