Tingkat kehadiran polis di lapangan terbang, saran pakar kriminologi

Tingkat kehadiran polis di lapangan terbang, saran pakar kriminologi

Langkah lain disarankan pakar untuk meningkatkan keselamatan di terminal lapangan terbang termasuk memasang pengimbas dan mengerahkan unit K-9.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata lebih ramai anggota polis perlu dikerahkan meronda kawasan di lapangan terbang sering dikunjungi orang awam.
PETALING JAYA:
Pakar menasihatkan pihak berkuasa meningkatkan kehadiran polis, mengerahkan unit K-9 dan memasang pengimbas sebagai kaedah utama memeriksa aktiviti jenayah di lapangan terbang.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata lebih ramai anggota polis perlu dikerahkan meronda kawasan sering dikunjungi orang awam yang ke lapangan terbang untuk menghantar atau mengambil penumpang.

Katanya, anggota polis tidak seperti polis bantuan kerana mereka dilatih untuk mengenal pasti corak yang memberi amaran terhadap aktiviti jenayah dan mengendalikan kes seperti tembakan di KLIA baru-baru ini.

Bekas ketua operasi imigresen di KLIA itu berkata, pengimbas juga perlu dipasang di semua pintu masuk balai ketibaan dan pelepasan bagi mengelakkan penyeludupan barang larangan, khasnya senjata, ke dalam terminal.

Kira-kira 1.30 pagi Ahad lalu, seorang lelaki bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ke arah isterinya di Balai Ketibaan KLIA, tetapi terkena pengawal peribadinya yang menyebabkan mangsa cedera parah.

Suspek yang melarikan diri, ditahan di Kelantan keesokannya.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata polis, Majlis Keselamatan Negara dan Malaysia Airports Holdings Bhd akan membincangkan cara meningkatkan keselamatan di KLIA.

Pakar pengurusan penerbangan dan operasi lapangan terbang, Wan Mazlina Wan Mohamed berkata anjing perlu digunakan untuk mengesan senjata dan bahan letupan.

“Anjing juga lebih cepat daripada manusia, apabila wujud keperluan untuk mengejar suspek,” katanya kepada FMT sambil menambah Malaysia boleh belajar daripada lapangan terbang antarabangsa yang terkenal dengan ciri keselamatan berpiawaian tinggi.

Beliau memilih Lapangan Terbang Changi di Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan, Lapangan Terbang Haneda di Jepun, Lapangan Terbang Schiphol di Belanda dan Lapangan Terbang Zurich di Switzerland untuk dicontohi.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia di UiTM itu berkata, sistem pengawasan dikuasakan kecerdasan buatan dengan keupayaan pengecaman muka juga akan memastikan pegawai keselamatan segera dimaklumkan apabila ada sesuatu tidak kena.

Katanya, sistem pengesan senjata yang menggunakan teknologi penderiaan seperti radar gelombang milimeter dan penderia inframerah pasif boleh didapati secara percuma.

“Ia boleh bantu mengenal pasti potensi ancaman dalam masa nyata dengan hanya menyaring kumpulan individu semasa mereka berjalan. Kita bahkan tidak perlu memberhentikan mereka.

“Sistem ini mampu mengesan senjata api dan ancaman lain supaya anggota keselamatan boleh mengambil tindakan perlu lebih awal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.