
Anwar yang juga menteri kewangan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang dipengerusikannya hari ini hampir memuktamadkan tambah baik struktur gaji itu.
Menurutnya, perkara itu seterusnya akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.
“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya di Facebook.
Menurut Anwar, komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA itu dibuat di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah,” katanya.