
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, parti itu patut memfokuskan usaha meningkatkan kesejahteraan ekonomi orang Melayu kelas bawah dan pertengahan.
Beliau percaya masyarakat Melayu lebih berpecah belah dari segi ekonomi berbanding ideologi.
“PKR yang ideologi politiknya berada di tengah-tengah perlu mendapat sokongan orang Melayu kelas bawah dan pertengahan. Ia tidak perlu berubah menjadi parti sayap kanan,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, parti itu juga perlu memberi perhatian terhadap kesejahteraan masyarakat bukan Melayu bagi memastikan ia mendapat sokongan meluas.
Selasa lalu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno berkata, PKR dan PH tidak boleh terus bergantung kepada penyokong terasnya untuk mentadbir Putrajaya, sebaliknya perlu berusaha menarik pengundi Melayu sayap kanan yang kini dikuasai pembangkang.
Katanya, jika PKR dan PH gagal menarik sokongan Melayu, gabungan itu akan terus bergantung kepada parti teras Melayu seperti Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan.
“(PKR) tak boleh menang pilihan raya, tak cukup penyokong teras sahaja, sejak 1999 kebanyakan sokongan kepada mereka daripada bukan Islam dan sebahagian kecil pengundi Melayu, walaupun ada lonjakan (sokongan Melayu) pada 2008, mereka tak boleh menang pilihan raya.”
Berbilang budaya antara ideologi PKR sejak penubuhan Keadilan pada April 1999. Keahliannya terbuka kepada semua kaum, begitu juga jawatan dalam pucuk pimpinannya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Kedah dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, parti itu tidak patut meninggalkan ideologi berbilang kaum, tetapi mengakui ia perlu meraih lebih banyak sokongan orang Melayu.
Katanya, sokongan komuniti etnik tunggal tidak menjamin kedudukan parti itu dalam kerajaan atau membantunya kekal parti dominan dalam politik negara.
Beliau percaya PKR perlu memfokuskan prestasi baik sebagai parti dalam kerajaan sebagai cara untuk memenangi sokongan lebih ramai orang Melayu.
“PKR akan kekal komited kepada prinsip parti ini ialah parti ‘reformasi’ yang mewakili suara berbilang kaum. Dengan berpegang kepada prinsip itu, PKR akan menjadi parti relevan dan bertahan lama di Malaysia,” katanya kepada FMT.