PBT lain pun dapat, pemimpin DAP pertahan peruntukan jelang PRK

PBT lain pun dapat, pemimpin DAP pertahan peruntukan jelang PRK

Ng Sze Han berkata peruntukan turut diberi kepada kawasan lain yang tidak berdepan pilihan raya.

Exco Ng Sze Han bersama Menteri Tengku Zafrul Aziz di pelancaran projek Multi-Cone Electronics Industries (M) Berhad di UMW Serendah.
HULU SELANGOR:
Pemimpin DAP Selangor pertahan peruntukan RM5.21 juta diumum KPKT menjelang pilihan raya sebagai “perkara biasa” yang diberi kepada beberapa pihak berkuasa tempatan.

“Menteri juga turun ke Terengganu dan Kelantan beri peruntukan yang sama… sana tiada PRK tapi kerja-kerja untuk beri peruntukan kepada PBT tetap dijalankan untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di kawasan PBT,” kata Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han selepas majlis pelancaran di UMW Serendah.

Ng juga merupakan exco pelaburan, perdagangan & mobiliti Selangor.

Semalam, menteri perumahan dan kerajaan tempatan nafi RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik prasarana awam mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu.

Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan itu dalam lawatan kerja ke Kuala Kubu Baharu sempena Program Sentuhan Kasih KPKT.

Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih, mengkritik pengumuman tersebut, dan mendakwa penyaluran RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang pilihan raya disifatkan melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.

Mengulas perkembangan lain, Ng yang juga pengarah pilihan raya PH Selangor bagi PRK Kuala Kubu Baharu memaklumkan DAP akan mengumumkan calon pada Rabu.

“Kami sudah ada beberapa calon yang layak,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.