Malaysia kecewa kuasa besar veto halang Palestin anggota penuh PBB

Malaysia kecewa kuasa besar veto halang Palestin anggota penuh PBB

Semalam, AS memveto satu resolusi di Majlis Keselamatan PBB berkait keanggotaan Palestin dalam PBB.

Wisma Putra komited sokong perjuangan rakyat Palestin ke arah penubuhan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
KUALA LUMPUR:
Malaysia zahir kebimbangan dan kekecewaan susulan penggunaan veto menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima Palestin sebagai anggota penuh pada 18 April.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, veto digunakan walaupun terdapat sokongan sebahagian besar negara anggota PBB.

Wisma Putra berkata, penggunaan veto dalam perkara penting ini telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB bagi merealisasikan hak rakyat Palestin.

Ia termasuk hak menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmuqaddis Timur, sejak 1967.

Pada Khamis, Amerika Syarikat (AS) memveto satu resolusi di Majlis Keselamatan PBB yang kebanyakannya disokong lain-lain negara anggota untuk memberi laluan kepada Palestin mendapatkan keanggotaan penuh PBB.

Dua belas negara mengundi menyokong resolusi itu dalam sesi mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York, sementara United Kingdom dan Switzerland berkecuali.

Palestin merupakan pemerhati tetap di PBB, sejak 2012.

Satu permohonan untuk menjadi anggota penuh PBB perlu diluluskan Majlis Keselamatan dan dengan undi dua pertiga pada Perhimpunan Agung.

Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin.

“Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.