Penerbangan batal, 3 sahabat tangguh pulang bekerja ke Jepun

Penerbangan batal, 3 sahabat tangguh pulang bekerja ke Jepun

Mereka yang berasal dari Tawau, Sabah itu tak dapat menaiki penerbangan ke Osaka untuk kembali bekerja selepas penerbangan ke Kota Kinabalu dibatalkan akibat letusan Gunung Ruang.

KLIA
Letusan Gunung Ruang di Indonesia menyebabkan beberapa syarikat penerbangan membatalkan laluan antara KLIA dan destinasi di Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga sahabat di Tawau terpaksa menanggung kerugian apabila terlepas penerbangan ke Osaka, Jepun untuk kembali bekerja susulan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan akibat letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Amri Wahyudin, 32, memberitahu FMT, beliau dan dua lagi rakannya sepatutnya kembali semula ke Jepun selepas pulang menyambut Aidilfitri dan sudah menempah tiket penerbangan dari Kota Kinabalu ke Osaka.

Katanya, mereka sepatutnya menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Tawau ke Kota Kinabalu pada 1 tengah hari tadi sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Selatan pada jam 10 malam ini untuk transit dan seterusnya ke Osaka.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, beliau hanya mengetahui penerbangannya dibatalkan apabila dimaklumkan oleh isteri yang melayari media sosial kira-kira 10 pagi tadi.

Masih menaruh harapan untuk meneruskan perjalanan pulang ke Jepun, Amri nekad mencari alternatif dengan merancang menaiki kereta sewa ke Kota Kinabalu, tetapi terpaksa membatalkan rancangan itu kerana caj terlalu tinggi antara RM900 hingga RM1,200.

“Ada yang caj RM150, tetapi kereta itu hantar penumpang di beberapa lokasi seperti Sandakan. Kalau naik pun tak sempat sebab perjalanannya ambil masa lebih 10 jam untuk tiba di Kota Kinabalu.

“Jalan paling dekat (Tawau-Kalabakan-Keningau-Kimanis-Kota Kinabalu) pun ambil masa lebih tujuh jam, jika bertolak dalam tengah hari rasanya tak sempat sampai dan sia-sia saja nanti,” katanya yang bekerja sebagai tukang lerai kereta di Osaka.

Beliau dan rakan-rakannya akhirnya akur serta terpaksa menukar jadual penerbangan kepada esok selepas berbincang dengan majikan mereka di Jepun.

“Majikan minta tunggu penerbangan seterusnya, mereka akan bantu bayar kos tambahan tiket kira-kira RM590 tetapi kami perlu bayar kemudian dengan cara potongan gaji.

“Memang rugi juga tetapi nak buat macam mana,” katanya.

Selain AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air juga telah membatalkan penerbangan mereka kerana letusan Gunung Ruang.

Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara KLIA dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.

Batik Air pula mengumumkan pembatalan penerbangan untuk laluan Malaysia Timur yang membabitkan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau dan Sibu.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), letusan gunung berapi di Gunung Ruang Indonesia mengakibatkan pembentukan awan debu bergerak ke arah Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.