
Hakim Ahmad Bache berkata mahkamah telah meneliti nota dan rakaman prosiding mahkamah Chiok Wai Loong pada 22 Mac dan mendapati Mahkamah Sesyen tidak merekodkan pengakuan bersalahnya dengan betul.
“Tidak disebut bahawa dia memahami pertuduhan dan akibat (kemungkinan hukuman) selepas dia mengaku bersalah. Hakim hanya menyebut pertuduhan dan hukuman dibacakan kepadanya.
“Pertuduhan terhadapnya begitu panjang, bagaimana anda (pendakwaan dan mahkamah) mengharapkan orang awam seperti beliau untuk memahami? Dia juga tidak diwakili peguam pada hari itu,” kata hakim itu.
Ahmad memerintahkan Chiok didakwa semula di Mahkamah Sesyen lain.
Bulan lalu, Chiok mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung komennya di Facebook. Dia juga dikenakan denda RM12,000, yang telah dibayarnya.
Dia telah disabitkan kesalahan kerana membuat hantaran jelik di Facebook berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau mendapati keseluruhan proses itu tidak adil kepada tertuduh.
Katanya, beliau bertanggungjawab untuk memastikan tidak berlakunya ketidakadilan terhadap Chiok.
Ahmad juga mengingatkan semua pegawai kehakiman supaya mematuhi amalan mahkamah yang diberi masa untuk memastikan semua orang yang dituduh menerima perbicaraan yang adil.
Peguam N Surendran mewakili Chiok manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.