
Adun Banting, V Papparaidu berkata, beliau dimaklumkan kumpulan itu pergi rumah ke rumah di kawasan itu dan mendakwa mereka mesra pembangkang.
Beliau mendakwa “pemimpin India tertentu” turut terbabit dan menggesa mereka menghentikan tindakan “tidak boleh diterima” itu.
“Saya diberitahu mereka meminta orang India tidak mengundi. Bagaimana mereka boleh minta seseorang tidak mengundi, sedangkan ia hak mereka di negara demokratik?
“Ini tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan,” kata exco sumber manusia dan pembasmian kemiskinan Selangor itu.
Beliau turut menyeru masyarakat India di Kuala Kubu Baharu tidak mengendahkan golongan terbabit.
“Sangat teruk beberapa pemimpin India menasihati rakyat tidak keluar mengundi.”
Bekas timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, Papparaidu patut mendedahkan nama individu terbabit kerana “kebudak-budakan untuknya membuat dakwaan sedemikian” tanpa bukti.
Beliau yang kini mengetuai parti baharu berasaskan India bernama Urimai berkata, ia akan menggesa kaum India di Kuala Kubu Baharu tidak mengundi Pakatan Harapan kerana mendakwa kerajaan bertindak sangat tidak adil terhadap mereka.
Walaupun Urimai tidak secara terang-terangan menggesa pengundi India menyokong Perikatan Nasional di peti undi, bekas Adun itu merasakan pembangkang perlu diperkukuhkan.
“Kita memerlukan pembangkang yang kuat untuk negara.”
Seorang Adun DAP yang enggan dinamakan sebelum ini memberitahu FMT, parti itu perlu meraih sekurang-kurangnya 60% undi India jika mahu memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.
Katanya, pengundi India mungkin menjadi penentu bagi mana-mana calon, dengan undi Melayu berpecah dan undi Cina mungkin terus menyokong DAP.
Kuala Kubu Baharu ialah kerusi campuran, dengan 50% pengundi Melayu, diikuti Cina (30%) dan India (18%).
Kerusi itu diwakili Adun Cina sejak 2004. Penyandang bagi tiga penggal terakhir ialah Lee Kee Hiong daripada DAP, yang meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.