
Chiok Wai Loong sekali lagi dituduh bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu memuatnaik kenyataan yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Dia berdepan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, sekiranya didapati bersalah.
Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Hakim tidak mengenakan syarat tambahan ke atas Chiok yang diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh, iaitu melapor kepada polis setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mei.
Latheefa Koya tampil mewakili Chiok selaku peguam.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan yang dikenakan ke atas seorang Chiok, selepas mendapati Mahkamah Sesyen tidak merekodkan pengakuan bersalahnya dengan betul.
Hakim Ahmad Bache memerintahkan Chiok, 35, dituduh semula.