Pengasas PBRS Joseph Kurup meninggal dunia

Pengasas PBRS Joseph Kurup meninggal dunia

Joseph Kurup menubuhkan PBRS pada Mac 1994, selepas berpisah daripada Parti Bersatu Sabah dan sejak itu ia menjadi komponen BN.

Joseph Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Joseph Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Joseph Kurup meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.

Bekas timbalan ketua menteri Sabah bersara daripada politik Januari tahun lalu selepas memegang jawatan presiden PBRS sejak penubuhan parti itu.

Beliau digantikan anaknya, Arthur, yang juga timbalan presiden PBRS merangkap Ahli Parlimen Pensiangan.

Bekas menteri persekutuan itu juga adalah ahli pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum menubuhkan PBRS pada Mac 1994, seterusnya menjadi komponen Barisan Nasional.

Difahamkan, Kurup tidak sihat sejak sekian lama.

Menurut NST, beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Ahli politik veteran itu memegang beberapa jawatan menteri sepanjang karier politiknya selama lebih empat dekad.

Beliau adalah timbalan ketua menteri Sabah antara 1986 dan 1990 dan sekali lagi dari 1994 hingga 1999.

Jawatan terakhirnya ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri (perpaduan dan integrasi nasional) antara 2013 hingga 2018. Beliau tidak mempertahankan kerusi Pensiangan pada PRU 2018, sebaliknya memilih untuk memberi laluan kepada Arthur, 40.

Arthur ialah timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Arthur dalam kenyataan ringkas meluahkan kesedihan atas kehilangan bapa tersayang.

“Thank you dad. You are the best. I love you with all my heart,” (Terima kasih ayah. Anda terbaik. Saya sayang ayah dengan sepenuh hati), katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.