
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana pam untuk mengekstrak air dipasang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) agak dalam di hilir sungai yang membolehkan ia masih boleh mengepam air bagi kegunaan pengguna di negeri itu.
“Apabila LRA itu terjejas, tidak bermakna loji kita atau ‘extraction point’ kita terjejas sebab paras di mana pam itu dipasang berbeza. Kita mendapati pam yang ekstrak air itu dipasang amat dalam ke sungai.
“Oleh itu, kalau paras air jatuh pun, ia masih mencukupi bagi kita (Pulau Pinang) untuk mengepam berbanding dengan kawasan lain. Setakat ini, kita masih dapat mengekstrak air,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Sambutan Edisi ke-100 iNPENANG di sini.
Bagaimanapun, Chow berkata, kerajaan negeri terus memantau perkembangan paras Sungai Muda dan pihaknya pernah mengesyorkan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) agar mengubah paras pam air untuk dipasang lebih rendah atau dalam bagi mengelakkan masalah sedemikian.
Semalam, Sada memaklumkan paras Sungai Muda menunjukkan trend penurunan, sekali gus bekalan air di daerah Kuala Muda berisiko berdepan gangguan dan penurunan itu disebabkan faktor kemarau berterusan serta menyebabkan bekalan air mentah berkurangan.
Bagi menangani masalah itu, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dan Pejabat Lembangan Sungai Muda menambah kuantiti pelepasan sumber air dari Empangan Beris daripada 10 cumec kepada 15 cumec untuk menstabilkan semula paras air Sungai Muda.