Kerajaan batal projek PJD Link

Kerajaan batal projek PJD Link

Jurucakap kerajaan berkata keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara itu.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memutuskan tidak meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.

“Jemaah Menteri telah membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link.

“Pihak PJD Link telah memohon pelanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat tetapi ini telah ditolak oleh pihak kerajaan,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi.

Beliau berkata demikian sebagai jurucakap kerajaan perpaduan selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara itu.

“Pihak JKR akan mengeluarkan kenyataan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Matlamat projek itu ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pertumbuhan trafik masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Pada 24 Feb, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, selepas PRN Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.