
Loke berkata, lembaga perolehan kementerian bersetuju pada 24 Nov bahawa bidaan HeiTech bagi penyelenggaraan sistem MySikap JPJ dan infrastruktur IT adalah terendah dan paling munasabah.
“Penerimaan dihantar kepada Kementerian Kewangan bagi kelulusan akhir pada 4 Dis dan kelulusan Perbendaharaan diberikan pada 8 Feb bagi nilai RM185 juta, tidak termasuk cukai perkhidmatan,” katanya.
Katanya, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan Jemaah Menteri awal hari ini, susulan “sindiran” projek itu dianugerahkan kepada HeiTech Padu kerana hubung kait dengan Anwar dengan Farhash.
Farhash merupakan bekas setiausaha politik Anwar, sebelum beliau dilantik perdana menteri.
Pada Isnin, HeiTech Padu mengumumkan firma berkenaan menandatangani surat anugerah daripada JPJ bagi kontrak tiga tahun bernilai RM190 juta, berkuat kuasa 1 Mei.
Loke berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Anwar menegaskan tiada kontrak lain kerajaan diberikan kepada HeiTech Padu selepas Farhash memperoleh saham syarikat itu.
“Apa yang nak ditegaskan oleh Anwar ialah, lepas Farhash jadi pemilik HeiTech, tak ada kontrak bagi kepada HeiTech. Jemaah Menteri ambil serius terhadap sindiran yang kononnya kaitkan kontrak ini diberikan kepada Heitech Padu sebab ada kaitkan rapat dgn PMX,” katanya.
“Kalau ada yang tak puas hati dengan penerangan ini, boleh buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”
Menurut The Edge, HeiTech Padu telah dianugerahkan kontrak sama oleh JPJ pada 2021. Kontrak bernilai RM36 juta hanya untuk 13 bulan, namun dilanjut kepada empat bulan, kemudian setahun, masing-masing pada nilai RM10 juta dan RM27 juta.
Awal tahun ini, HeiTech Padu berkata firma itu berjaya mendapatkan lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan kepada sistem imigresen.
Katanya, lanjutan kontrak 12 bulan berjalan bermula 8 Feb lalu sehingga 17 Feb tahun depan. Syarikat itu berjaya mendapatkan kontrak tiga tahun pertama pada Mac 2021, bernilai RM33.9 juta dan berakhir 17 Feb 2024.
HeiTech Padu juga menang kontrak RM58.89 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi penyediaan “perkhidmatan rangkaian generasi akan datang”. Ia dilaporkan pada Januari.
Pada 14 Mac, firma perkhidmatan teknologi itu berkata, Farhash memperoleh kepentingan tidak langsung 15.9% (16.1 juta saham), menjadikannya pemegang saham besar dalam HeiTech Padu.
Sebelum ini, Farhash menjelaskan saham dipegang dalam HeiTech Padu adalah menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd, syarikat swasta yang dimiliki bersama oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Katanya, pemilikan juga adalah sebahagian strategi pelaburan bersama Sultan Muhammad V bagi membantu firma Bumiputera.
Farhash juga merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat, termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.