Bunuh anak tiri, bekas kontraktor dipenjara 35 tahun

Bunuh anak tiri, bekas kontraktor dipenjara 35 tahun

Mahkamah Rayuan telah mengesahkan keputusan hakim perbicaraan yang menolak pembelaan Khairul Izaini Khairuddin kerana tidak siuman.

Khairul Izaini Khairuddin, dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun kepada seorang lelaki selepas menolak rayuannya atas kesalahan membunuh anak tirinya yang berusia tiga tahun, hampir enam tahun lalu.

Panel tiga hakim turut memerintahkan Khairul Izaini Khairuddin, 37, atau dikenali Boy Tiger disebat sebanyak 12 kali.

Dalam keputusannya, panel yang dipengerusikan oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera enggan menerima pembelaan bekas kontraktor yang kurang siuman.

Bagaimanapun, Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin, menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara dan sebat.

Di bawah undang-undang, hakim kini diberi budi bicara untuk mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun dalam kes bunuh sebagai ganti hukuman mati.

Mahkamah, yang mendengar rayuan tahun lepas, menyampaikan keputusannya hari ini.

Vazeer, yang dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan bulan lepas, memerintahkan hukuman penjara bermula dari 12 Nov 2018.

Pada 22 Ogos 2022, Khairul disabitkan dengan kesalahan membunuh Qairil Aqmal Abdul Hakim di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, pada 18 Nov 2018.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Ampang pada 22 Dis 2018.

Zaidi, yang membaca alasan penghakiman berkata, rayuan Khairul tidak mempunyai merit kerana hakim perbicaraan telah membuat keputusan yang betul tentang kesalahan selepas mempertimbangkan pembelaan dirinya kerana gila.

Hakim berkata ibu mangsa adalah saksi kepada jenayah itu kerana dia melihatnya menyerang budak itu secara fizikal.

“Bagaimanapun, si ibu itu tidak berdaya kerana sarat mengandung dan tertuduh pula dikatakan panas baran,” katanya.

Bukti yang dikemukakan ialah tertuduh membawa kanak-kanak itu ke klinik swasta dan kemudian ke hospital, di mana Khairul berbohong kepada doktor bahawa kanak-kanak itu terjatuh di bilik air.

Zaidi berkata, pakar patologi turut memberi keterangan bahawa hentakan benda tumpul di kepalanya yang menyebabkan kecederaan si mati.

Pakar patologi juga menolak sebarang kemungkinan kecederaan kepala yang dialami si mati mungkin berpunca daripada terjatuh.

Zaidi berkata hakim perbicaraan, setelah menerima keterangan ibu mangsa dan pakar patologi, adalah tepat untuk memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie.

Beliau berkata, tertuduh membangkitkan pembelaan bahawa dia gila, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan kerana berada di bawah pemerhatian psikiatri sebelum kejadian.

Pihak pembelaan telah memanggil pakar psikiatri yang memberi keterangan bahawa tertuduh mengalami halusinasi dan skizofrenia.

Zaidi berkata pihak mahkamah mendapati terdapat banyak bukti bahawa tertuduh telah melakukan pembunuhan dan tiada sebab untuk mengganggu keputusan hakim bicara.

“Kami juga bersetuju dengan hakim bicara untuk menolak pembelaan bahawa dia gila kerana tindakan tertuduh tidak sepadan dengan tindakan orang yang tidak siuman,” katanya.

“Dia berbohong bahawa mangsa terjatuh di dalam bilik air untuk menyembunyikan perbuatannya,” katanya sambil menambah tertuduh tahu hospital adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan rawatan kanak-kanak itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.