5 Jun keputusan Najib cabar ‘perintah tambahan’

5 Jun keputusan Najib cabar ‘perintah tambahan’

Peguam Shafee Abdullah berkata seorang individu yang mendakwa melihat 'perintah tambahan' itu mengesahkan satu afidavit berkaitan perkara tersebut.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan Najib Razak meneruskan usahanya untuk memaksa kerajaan mendedahkan “perintah tambahan” yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Perintah itu didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Peguam Shafee Abdullah memberitahu perkara itu selepas prosiding itu yang diadakan secara tertutup di hadapan Hakim Amarjeet Singh. Terdahulu mahkamah mengarahkan prosiding itu dijalankan secara tertutup.

Shafee mendakwa ini adalah “kes pertama” di mana arahan seperti itu dikeluarkan Agong tetapi tidak diumumkan kepada orang ramai oleh individu terlibat.

Katanya, seorang saksi mengesahkan satu affidavit berkait “perintah tambahan” itu.

“Saya tidak boleh mendedahkan nama individu (yang menandatangani afidavit) yang mengesahkan melihat perintah itu,” katanya yang menambah afidavit itu sudah disimpan mahkamah dan tidak boleh akses oleh orang lain.

“Sekiranya wartawan mahu membuat salinan, anda tanggung risiko sendiri,” katanya apabila ditanya adakah kandungan afidavit itu boleh didedahkan kepada orang awam.

Shafee juga berkata pasukannya menghantar tujuh surat kepada menteri dan jabatan kerajaan berkaitan untuk mengesahkan sama ada “perintah tambahan” itu wujud tetapi “ia tidak pernah dijawab”.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “perintah tambahan” semasa mesyuarat lembaga pengampunan pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Agong dan terdiri daripada lima ahli – peguam negara, menteri wilayah persekutuan, dan maksimum tiga orang lain yang dilantik oleh Agong

“Bagaimanapun, Titah Adendum (perintah tambahan) itu tidak diumumkan oleh lembaga pengampunan pada 2 Feb,” kata Najib.

“Kegagalan responden untuk mengesahkan kewujudan perintah tambahan dan permintaan pemohon (Najib) untuk ia dilaksanakan, bersama kegagalan Jabatan Penjara melaksanakan dekri itu adalah tidak munasabah,” kata Najib.

Najib juga mendakwa bahawa kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan perintah tambahan tersebut.

Bekas presiden Umno itu juga mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan tersebut – sekiranya ia benar – dan meletakkan beliau di bawah tahanan rumah.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.