
Hafizul Harawi, 38, diterbangkan ke Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Subang dengan pesawat milik polis dari Kota Bharu, Kelantan, lokasi dia ditahan semalam.
Lelaki itu memakai baju berwarna ungu kelihatan tenang ketika diiringi sejumlah anggota polis keluar dari pesawat sebelum masuk ke dalam sebuah kenderaan polis kira-kira 2.20 petang.
FMT difahamkan Hafizul akan dibawa ke IPK Selangor di Shah Alam.
Terdahulu pagi ini, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Hafizul selama tujuh hari hingga 22 April.
Hafizul disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api secara haram.
Dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi Isnin lalu, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan Hafizul.
Siasatan lanjut polis mendapati Hafizul sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.