
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid, turut menyuarakan kekesalan dengan hantaran seorang individu yang didakwa menghina Sultan Ibrahim, baru-baru ini.
“Kita bertanggungjawab untuk mendoakan sesama Muslim dan ia satu kewajipan, apatah lagi kepada pemimpin sebab pemimpin turut mendoakan kita,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hantaran tular itu.
“Saya telah pun mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan kebiasaannya khutbah Jumaat telah pun disiapkan untuk tempoh sebulan, tetapi apabila ada isu-isu khas seperti ini, kita akan mohon untuk disiarkan secara khas mengikut keperluan.
“Saya percaya dalam tempoh dua minggu ini draf khutbah tersebut akan dilaksana supaya nanti ia dapat diedarkan kepada semua khatib,” katanya.
Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama “Hezry Yasin” dalam hantarannya baru-baru ini mendakwa tidak menadahkan tangan ketika doa dibacakan untuk Agong dan keluarga diraja selepas khutbah solat Jumaat di sebuah masjid di Johor.
Pemilik akaun itu turut mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu serta memperjuang dan mempertahan Islam ketika agama diancam.
Semalam, Ketua Polis Johor M Kumar dalam kenyataan, dilapor berkata pihaknya telah menerima sebanyak 36 laporan berhubung hantaran itu.
“Semua pengadu (babitkan 36 laporan polis) telah dirakam percakapan dengan semua rakaman berkenaan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.