
Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan pada 12.30 tengah malam itu membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dari arah Ketereh menghala Kota Bharu secara berkumpulan.
Katanya, dua motosikal di depan berlanggar sesama sendiri, dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal terjatuh di atas jalan raya.
“Keadaan itu menyebabkan pelanggaran empat motosikal yang berada di belakang dan membabitkan beberapa kenderaan lagi.
“Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa berusia 19 hingga 21 tahun meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, tiga lagi penunggang motosikal yang parah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Katanya, nahas itu dipercayai berpunca daripada sikap menunggang motosikal dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan penunggang tidak dapat bertindak awal, selain kesukaran melihat dalam keadaan gelap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Rosdi meminta saksi tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315 bagi membantu siasatan.